Perangi wabak denggi
|
|
SEJAK pertama kali wabak denggi berdarah dikesan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1962 dan kemudiannya di Kuala Lumpur pada 1973, kes-kes membabitkan demam denggi dilaporkan berlaku saban tahun.
Terbaru, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 4,221 kes denggi dengan 12 kematian berlaku dalam tempoh hanya 23 hari sejak awal tahun ini.
Walaupun kes denggi ini adalah bermusim, namun statistik terbaru itu sangat membimbangkan mengambil kira peningkatan kes hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Meneliti statistik itu, termasuk laporan sebanyak 46,000 rakyat Malaysia dijangkiti penyakit ini dengan 106 kematian sepanjang tahun lalu, maka adalah wajar untuk kerajaan mengisytiharkan penyakit tersebut sebagai wabak.
Serentak dengan itu juga, seluruh pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan penyakit demam denggi itu tidak menular dan mengorbankan lebih banyak nyawa.
Namun, adalah penting untuk seluruh rakyat Malaysia memahami simptom-simptom apabila dijangkiti penyakit demam denggi atau lebih teruk denggi berdarah bagi membolehkan rawatan segera diberikan.
Antara tanda-tanda yang mudah dikesan ialah demam panas dengan suhu badan mencecah sehingga 40 darjah Celsius secara tiba-tiba.
Pesakit juga pening dan sakit di dalam bebola mata selain sengal pada sendi di seluruh bahagian badan.
Tanda-tanda lain termasuk rasa mual dan muntah, hilang selera makan, cirit-birit, pedih ulu hati dan senak perut selain dijangkiti ruam dan gatal-gatal di beberapa bahagian badan.
Selain ruam dan gatal-gatal yang kebiasaannya berlaku pada hari ketiga dan keempat selepas demam, tanda-tanda lain yang disebutkan itu sebenarnya sangat sinonim dengan simptom demam biasa.
Justeru adalah mudah untuk tanda-tanda demam denggi itu diabaikan dan kecuaian tersebut yang berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai denggi secara tidak langsung semakin meningkatkan statistik kematian.
Namun benarlah mencegah itu lebih baik daripada mengubati, dan hakikat itu juga tidak terkecuali dalam membendung wabak denggi ini.
Di peringkat individu, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan tiada ruang untuk nyamuk aedes membiak di kawasan rumah atau kejiranan.
Paling menjadi keutamaan ialah memastikan tiada takungan air sama ada yang berpunca daripada bekas tadahan air, kolam, pasu bunga, tin-tin kosong, tayar buruk dan sebagainya.
Aspek kebersihan di kawasan persekitaran seperti mengurus sampah sarap dengan baik dan membersihkan longkang supaya tidak tersumbat juga perlu diberi perhatian.
Malangnya dalam budaya hidup bermasyarakat hari ini, amalan-amalan murni bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan seperti itu tidak lagi begitu mendapat sambutan.
Malah, seperti yang dikesalkan oleh pakar perubatan di Jabatan Otorinolaringologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil sikap lepas tangan terutamanya dalam mengawal risiko penularan wabak itu.
Barangkali kerana sikap sedemikian juga, hampir 80 peratus daripada kawasan perumahan didapati cenderung untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.
Lebih meluas, kawalan dan pencegahan wabak penyakit demam denggi itu perlu dilakukan menerusi usaha bersepadu dan besar-besaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Aktiviti penyemburan asap untuk membunuh nyamuk aedes misalnya, wajar dipertingkat dan diperluaskan tidak hanya di kawasan perumahan, malah meliputi premis-premis perniagaan dan bangunan komersial.
Dalam masa sama, PBT seharusnya lebih kerap turun padang untuk memeriksa tahap kebersihan terutamanya restoran dan gerai makanan yang sebenarnya lebih berisiko untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.
Begitu juga pemeriksaan di tapak-tapak projek terbengkalai yang tidak begitu diberi perhatian sehingga dijadikan lokasi bagi aktiviti tidak bermoral oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kawasan projek terbengkalai itu lebih cenderung untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes kerana dipenuhi dengan sampah sarap serta sisa bahan binaan yang tidak terurus dan terbiar tanpa perhatian mana-mana pihak.
Dalam masa yang sama, PBT juga perlu meningkatkan pemeriksaan di kawasan projek pembinaan yang sedang dijalankan supaya kontraktor atau pemaju mematuhi kebersihan.
Aspek kebersihan itu tidak hanya mencakupi kawasan persekitaran tapak projek, sebaliknya diperluaskan terutamanya di kawasan tempat tinggal pekerja buruh binaan.
Ini kerana polemik mengenai penularan wabak denggi sebelum ini pernah dikaitkan dengan kebanjiran pekerja asing yang tidak mementingkan tahap kebersihan dan hakikat itu tidak boleh dipandang mudah.
Sementelah sebelum ini juga dilaporkan terdapat kira-kira 4,000 kes demam Chikungunya, yang mirip dengan simptom penyakit demam denggi yang disebabkan oleh pekerja dari Myanmar, Vietnam dan Selatan India.
Barangkali PBT perlu menguatkuasakan semula pasukan antiaedes di tapak projek pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan ketika negara dikejutkan dengan wabak denggi pada pertengahan 1990-an.
Kegagalan menubuhkan pasukan antiaedes itu pula seharusnya tidak membuatkan PBT teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju dan kontraktor termasuk menggantung projek pembinaan tersebut.
Dalam menyemai kesedaran mengenai wabak denggi pula, PBT harus lebih agresif dan proaktif menyebar kefahaman mengenai wabak denggi dengan mendekati masyarakat secara langsung.
Kempen-kempen bergerak di kawasan tumpuan orang ramai serta penyebaran risalah, poster dan sebagainya dipertingkatkan supaya maklumat berkaitan wabak denggi dapat disebarkan secara menyeluruh.
"Sebaran maklumat itu tidak seharusnya bergantung kepada media cetak dan elektronik semata-mata kerana masih terdapat sebahagian daripada masyarakat terutamanya di luar bandar yang tidak mendapat akses sepenuhnya kepada sumber maklumat formal tersebut," katanya.
Sebagai sokongan sosial dalam berdepan dengan wabak denggi di seluruh negara itu juga, Irfan turut menyeru orang ramai untuk menderma darah.
Ketika ini katanya, kebanyakan hospital memerlukan jumlah darah yang banyak bagi membantu menambah bilangan platelet darah yang berkurangan.
Seperkara yang wajar diberi perhatian dalam membincangkan mengenai pencegahan penyakit demam denggi juga ialah penyelidikan mengenai antivirusnya yang masih belum ditemui sehingga kini.
Bagaimanapun beberapa tahun lalu, negara pernah dikejutkan dengan penemuan antivirus penyakit demam denggi oleh sekumpulan saintis perubatan dari Universiti Malaya (UM).
Penemuan antivirus yang pertama seumpamanya itu dikatakan menggunakan ekstrak herba dari China iaitu artemisia dan tujuh herba tempatan lain.
Namun sehingga kini, tidak dapat dipastikan sejauh mana perkembangan penyelidikan itu memandangkan penemuan tersebut ketika itu masih di peringkat awal dan memerlukan tempoh yang panjang serta bantuan kewangan yang besar.
Adalah menjadi harapan supaya kerajaan memberikan perhatian yang khusus terhadap penyelidikan antivirus denggi itu agar usaha menghasilkan kapsul dan pil yang diberi nama DENGIMM2 tersebut berjaya dipercepatkan.
Selain berpotensi membendung wabak denggi seperti yang dibuktikan pada peringkat awal penyelidikan, kejayaan menghasilkan antivirus denggi itu juga bakal mengharumkan nama negara.
Ini kerana tiada sebarang vaksin dan antivirus yang berkesan untuk rawatan denggi di dunia walaupun India, Vietnam dan Thailand ketika ini berusaha menghasilkan antivirus denggi berasaskan ekstrak tumbuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan