Hargai Kaum Wanita

Pesanan aku kepada kaum yg sejenisku yakni lelaki, sila hormati kaum wanita dan hargailah mereka kerana kita memerlukan mereka. Perlindungan, kasih sayang dan segalanya adalah hadiah terbaik dari kita sebagai menghargai golongan yang berlekuk-lekuk dan comel itu.

Wanita adalah sumber inspirasiku...

Rabu, Januari 28, 2009

Si kecil juara di bumi Thai

Si kecil juara di bumi Thai

Ayam serama peliharaan Mazuki telah membawanya bertemu puteri sulung raja Thailand, Ubol Ratana yang tertarik dengan kehebatan ayam serama beliau.




Sepanjang perjalanan perasaan gementar terus-menerus bersarang di dalam hatinya. Sesekali dia menoleh ke bahagian belakang van bagi memastikan tujuh ekor ayam serama yang akan dipertandingkan berada dalam keadaan selamat.

Sebaik tiba di tapak pertandingan, Mazuki Mat Zin, 46, begitu berhati-hati mengeluarkan ayam serama peliharaannya. Ini bagi mengelakkan ayam bersaiz kecil itu mengalami sebarang kecederaan yang boleh menyebabkan mereka tidak layak menyertai pertandingan.

Perasaan gemuruh dan gementar yang dirasai Marzuki semakin kuat apabila pertandingan bermula. Kelihatan lebih daripada 10 ekor ayam serama jantan dipertandingkan dalam setiap kategori (anak A, anak B, remaja, muda, bapa A, bapa B dan induk). Masing-masing memiliki kecantikan, gaya dan keunikan yang tersendiri.

"Persaingan cukup sengit kerana setiap jenis ayam serama yang dipertandingkan terdapat dalam pelbagai warna dan perwatakan yang istimewa. Namun, saya berasa gembira dan bersyukur kerana berjaya menggondol tempat pertama dalam enam kategori," kata Mazuki yang menyertai Pertandingan Haiwan Terbuka Thailand 2004. Dalam pertandingan tersebut, tujuh ekor ayam serama Mazuki terlibat. Daripada tujuh kategori yang dipertandingkan, Mazuki memenangi enam kategori.


"SELEPAS dimandikan, ayam serama dikeringkan dengan menggunakan mesin pengering atau tuala."


Pertandingan yang diadakan di Thailand itu terbuka kepada semua tetapi hanya peserta dari Kelantan dan Thailand saja yang menyertainya. Mazuki, yang sebelum ini pernah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan ayam serama, buat kesekian kalinya bertuah apabila ayam serama yang dipertandingkannya dinobatkan sebagai juara.

"Mungkin rezeki dan nasib menyebelahi saya apabila ayam serama saya dinobatkan sebagai juara," ujar bapa kepada enam anak itu mengimbas memori manis bersama ayam serama peliharaannya.

"Berbekalkan pengalaman selama dua dekad bergelumang dengan ayam serama telah mematangkan saya untuk melatih dan 'melahirkan' ayam serama yang terbaik.

Walaupun peserta Thailand membeli ayam serama di Kelantan, tetapi mereka tidak memiliki kepakaran menjaga ayam serama seperti kita," jelasnya seekor ayam serama boleh mencecah hingga RM80,000.

Menurut Mazuki, ayam serama ternakannya berjaya menambat hati juri kerana bijak memperaga diri, berdada tegap, cantik, jinak dan sihat. Menariknya, selepas beberapa jam bergelar juara salah seekor ayam seramanya telah dibeli oleh seorang warga Thailand pada harga RM1,500.


"MAZUKI mahir mengendalikan ayam serama peliharaan beliau."



"ASRY AZIZAN"


Lebih membanggakan, seminggu selepas pertandingan tersebut Mazuki dipanggil menghadap puteri sulung Raja Thailand, Ubol Ratana. Baginda begitu kagum dengan kecantikan ayam serama dari Malaysia.

"Pada pertemuan tersebut, Puteri Ubol Ratana meluangkan masa sekitar 15 minit dengan memegang dan mengusap enam ekor ayam serama saya yang bergelar juara.

"Baginda memuji kecantikan bulu dan lawi (terdapat di ekor ayam jantan) yang menegak dan melentik ke belakang di penghujungnya. Tangannya tidak henti-henti membelai ayam saya yang jinak dan manja," ujar Mazuki ketika ditemui Kosmo! di ladang mini ternakan ayam serama, Serama Corporation Sdn. Bhd., Ampang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, penduduk Thailand terpaksa mengurangkan aktiviti membela dan membeli ayam serama kerana bimbang penyakit selesema burung. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia yang bimbang mendekati ayam yang beratnya kurang daripada 500 gram itu. Ketinggian ayam serama menyamai air kotak dengan isipadu 300 mililiter (ml).

Mazuki yang kini memiliki hampir 100 ekor ayam serama mula mencintai spesies itu ketika dia berusia 26 tahun. Dibesarkan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Mazuki menjelaskan, rata-rata penduduknya begitu obses pada haiwan tersebut.

Bolehkan ayam serama dimakan? "Ayam serama boleh dimakan, dagingnya sama seperti ayam kampung cuma ia tidak liat," katanya yang seronok membela ayam serama kerana haiwan tersebut mudah dikawal.

Jelas Mazuki, ayam serama jantan mempunyai lawi yang menegak di hujung ekor dan balung berwarna merah, manakala ayam betina tidak mempunyai ciri-ciri tersebut. Ayam serama mula bertelur apabila usianya mencecah sembilan bulan. Ia mengeluarkan telur sehari satu biji. Lazimnya, induknya mampu bertelur sebanyak enam biji. Saiz telurnya besar sedikit daripada telur puyuh.

"Telur ayam serama akan menetas selepas 19 hari. Ancaman haiwan ini hanyalah musang dan anjing serta tidak boleh bunyi bising," ujarnya. Ayam yang boleh hidup antara tujuh hingga 15 tahun itu dibela untuk tujuan peliharaan dan bukan untuk dimakan. Bagi mengekalkan kecantikan bulunya, ayam ini perlu dibiarkan berenang dalam kolam selama dua minit untuk latihan kepaknya.


"REBAN dua tingkat yang menggunakan kaedah ternakan moden."


Kemudian, ayam tersebut perlu dikeringkan sama ada dengan tuala, alat pengering atau mereka menjemur diri di bawah panas terik.

Jika dahulu ayam serama merupakan hiburan dan permainan di istana, kini ia menjadi salah satu haiwan peliharaan yang begitu popular terutamanya di negeri Kelantan dan Kedah.

"Orang di Kelantan dan Kedah khususnya, memang sukar dipisahkan dengan ayam serama. Boleh dikatakan, setiap minggu, setiap daerah atau pelosok kampung menganjurkan pertandingan ayam serama," ujar Mazuki yang turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan ayam serama yang diadakan di Johor, Terengganu dan Selangor.

Sementara itu, aktiviti membela ayam serama bukan sahaja diminati oleh golongan yang berusia, malah remaja. Pelakon dan model baru, Asry Azizan, 22, mula membela ayam serama ketika berusia 14 tahun.

Setiap petang, selepas mengulangkaji pelajaran, pelakon drama Obsesi itu akan memberi makan, suntikan vaksin dan vitamin serta melatih lima pasang ayam serama peliharaannya.

Latihan keras perlu dilakukan supaya ayam-ayam itu tidak berasa takut atau malu ketika berada di pentas pertandingan. Ayam serama bukan sekadar diajar supaya bijak beraksi lensa kamera, tetapi pada masa yang sama Asry juga melatih bagaimana melakukan aksi mendada yang tinggi.

"Ketika ia berjalan, saya mengeluarkan bunyi aneh supaya ayam berhenti. Bagi mencari punca bunyi itu, ia akan mendada.

"Dalam pertandingan lagi tinggi dada ayam serama maka lebih tinggi markah dikutip. Menariknya pertandingan ayam serama, ia tidak menyakitkan ayam kerana hanya menilai dari segi perwatakan, jenis, ekor melentik berbentuk V, kepak dalam posisi menegak dan badan tegap dan bulat.

"Tidak seperti pertandingan ayam biasa yang ditentukan pemenangnya menerusi hasil kekuatan melawan dan bersabung," jelas Asry yang pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Malaysian Bantam Beauty 2000 dan Pertandingan Kesenian Ayam Serama anjuran Litrak Kategori B (tempat kesembilan).

Ayam serama ikon Malaysia

Kalau disebut ayam serama, ramai yang beranggapan ia tidak lebih daripada aktiviti waktu senggang orang kampung. Malah, bisnes ayam serama tidak lebih daripada perniagaan kecil-kecilan yang tidak mendatangkan untung.


"AHMAD FAUZI (tengah) mengadakan pameran terbuka ayam serama setiap hujung minggu."





Hakikatnya, pasaran dan minat meluas masyarakat Malaysia dan antarabangsa sebenarnya memberi keyakinan bagi Serama Corporation Sdn. Bhd., untuk memulakan bisnes haiwan itu.

Berlandaskan beberapa matlamat utama seperti mewujudkan sumber pendapatan baru dalam sektor penternakan, mereka juga ingin menjadikan penternakan ayam serama sebagai daya tarikan pelancong, sekali gus ingin mengangkat ayam ini sebagai ikon Malaysia.

“Saya percaya sekiranya diberi pendedahan, promosi dan diiktiraf sebagai ikon pasti ia boleh dijadikan salah satu tarikan utama pelancong. Jika inisiatif ini tidak dilakukan secepat mungkin, kebarangkalian negara luar terlebih dahulu mengiktiraf ayam serama adalah milik mereka.

“Ini berikutan seorang ahli perniagaan, J.Schexnayder telah mengimport beberapa ekor ayam serama ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2002. Bukan setakat membiak dan mempromosikan ayam serama, malah, beliau menubuhkan persatuan khas,” kata Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn. Bhd., Ahmad Fauzi Mohamed dalam nada kecewa ekoran beberapa pihak di luar negara (Indonesia dan AS) sedang mengacuk ayam jenis itu.

Sejak enam bulan kebelakangan ini, ayam serama kembali popular dan menjadi perhatian ramai setelah ia dilupakan sejak tahun 2003. Segalanya berpunca apabila orang ramai bimbang membela ayan serama kerana isu selesema burung.

Ahmad Fauzi menambah, Malaysia juga perlu mempunyai identiti haiwan tersendiri seperti China yang berbangga dengan beruang panda dan abalon, Thailand dengan kucing Siam dan kanggaru serta kaola yang terkenal di Australia.

Menyedari faktor tersebut Serama Corporation Sdn. Bhd., sedang berusaha membuka sebuah ladang seluas empat ekar di Ulu Yam, Selangor.

Ia bertujuan menternak lebih banyak ayam serama memandangkan ladang di Ampang dan Kelantan hanya mampu menempatkan 300 ekor ayam serama di satu tempat.

“Kami sedang berusaha menternak lebih banyak ayam serama kerana mendapat permintaan yang tinggi dari Jepun dan China. Stok untuk dihantar ke luar negara masih belum mencukupi kerana di Malaysia hanya terdapat lebih kurang 3,000 ekor saja,” jelas Fauzi.

Pameran dan penjualan ayam serama, Serama Corporation:

Pasar Seni Kuala Lumpur

Sabtu dan Ahad

Hubungi 03-4270 7181 (En. Shazly) atau e-mel : seramacorporation@gmail.com

Milan, Juve intai peluang

Milan, Juve intai peluang



ADRIANO terlepas tiga aksi Serie A gara-gara kecederaan.

SUMBER: KOSMO ONLINE

ROM - AC Milan dan Juventus akan berusaha memanfaatkan sepenuhnya masalah yang melanda pendahulu liga, Inter Milan bagi mengurangkan jurang mata dalam kedudukan Serie A.

AC Milan akan turun pada aksi liga hari ini dengan melayan kunjungan Genoa sementara Juventus akan berkunjung ke Udinese.

Inter pula akan berdepan Catania. Kelab itu kini mendahului Juventus dengan tiga mata manakala Milan mengekori rapat di tangga ketiga dengan kurang tiga mata berbanding Juventus.

Begitupun, kelebihan memihak kepada Milan dan Juventus untuk meraih tiga mata, ketika Inter yang dibimbing Jose Mourinho terus terumbang ambing.

Tiga perlawanan terakhir liga menyaksikan kelab itu sekadar seri dengan Cagliari dan tewas 1-3 di tangan Atalanta sebelum hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sampdoria Ahad lalu.

Kemenangan tersebut bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi apabila penyerang Inter, Adriano digantung tiga perlawanan selepas menolak Daniele Gastaldello.

Selain itu, Mourinho juga telah mewujudkan hubungan yang kurang baik di kalangan media Itali yang sering melontarkan provokasi serta mahu melihat pengurus itu gagal.

Namun, lain pula ceritanya dengan pengurus Milan, Carlo Ancelotti yang lebih tenang dan yakin untuk menghadapi baki perlawanan dalam saingan Serie A.

"Ia menjadikan pertarungan hebat antara kami (Milan), Juventus dan Inter. Setiap pasukan mempunyai kekuatan berbeza.

"Inter bergantung kepada kekuatan keseluruhan, Juventus dengan kerjasama sepasukannya manakala Milan dengan kualitinya. Pasukan mana yang lebih menyerlah apabila Liga Juara-Juara bersambung, mereka akan jadi juara," kata Ancelotti.

Salah satu sebab mengapa Ancelotti berasa gembira adalah disebabkan impak positif yang diterima pasukannya sejak kehadiran David Beckham secara pinjaman daripada LA Galaxy. - AFP

Perangi wabak denggi

Perangi wabak denggi


SAMPAH yang dibuang sewenang-wenangnya oleh penduduk dan tidak dikutip oleh pihak yang bertanggugjawab merupakan antara penyebab berlakunya penularan wabak demam denggi.


SEJAK pertama kali wabak denggi berdarah dikesan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1962 dan kemudiannya di Kuala Lumpur pada 1973, kes-kes membabitkan demam denggi dilaporkan berlaku saban tahun.

Terbaru, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 4,221 kes denggi dengan 12 kematian berlaku dalam tempoh hanya 23 hari sejak awal tahun ini.

Walaupun kes denggi ini adalah bermusim, namun statistik terbaru itu sangat membimbangkan mengambil kira peningkatan kes hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Meneliti statistik itu, termasuk laporan sebanyak 46,000 rakyat Malaysia dijangkiti penyakit ini dengan 106 kematian sepanjang tahun lalu, maka adalah wajar untuk kerajaan mengisytiharkan penyakit tersebut sebagai wabak.

Serentak dengan itu juga, seluruh pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan penyakit demam denggi itu tidak menular dan mengorbankan lebih banyak nyawa.

Namun, adalah penting untuk seluruh rakyat Malaysia memahami simptom-simptom apabila dijangkiti penyakit demam denggi atau lebih teruk denggi berdarah bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

Antara tanda-tanda yang mudah dikesan ialah demam panas dengan suhu badan mencecah sehingga 40 darjah Celsius secara tiba-tiba.

Pesakit juga pening dan sakit di dalam bebola mata selain sengal pada sendi di seluruh bahagian badan.

Tanda-tanda lain termasuk rasa mual dan muntah, hilang selera makan, cirit-birit, pedih ulu hati dan senak perut selain dijangkiti ruam dan gatal-gatal di beberapa bahagian badan.

Selain ruam dan gatal-gatal yang kebiasaannya berlaku pada hari ketiga dan keempat selepas demam, tanda-tanda lain yang disebutkan itu sebenarnya sangat sinonim dengan simptom demam biasa.

Justeru adalah mudah untuk tanda-tanda demam denggi itu diabaikan dan kecuaian tersebut yang berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai denggi secara tidak langsung semakin meningkatkan statistik kematian.

Namun benarlah mencegah itu lebih baik daripada mengubati, dan hakikat itu juga tidak terkecuali dalam membendung wabak denggi ini.

Di peringkat individu, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan tiada ruang untuk nyamuk aedes membiak di kawasan rumah atau kejiranan.

Paling menjadi keutamaan ialah memastikan tiada takungan air sama ada yang berpunca daripada bekas tadahan air, kolam, pasu bunga, tin-tin kosong, tayar buruk dan sebagainya.

Aspek kebersihan di kawasan persekitaran seperti mengurus sampah sarap dengan baik dan membersihkan longkang supaya tidak tersumbat juga perlu diberi perhatian.

Malangnya dalam budaya hidup bermasyarakat hari ini, amalan-amalan murni bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan seperti itu tidak lagi begitu mendapat sambutan.

Malah, seperti yang dikesalkan oleh pakar perubatan di Jabatan Otorinolaringologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil sikap lepas tangan terutamanya dalam mengawal risiko penularan wabak itu.

Barangkali kerana sikap sedemikian juga, hampir 80 peratus daripada kawasan perumahan didapati cenderung untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Lebih meluas, kawalan dan pencegahan wabak penyakit demam denggi itu perlu dilakukan menerusi usaha bersepadu dan besar-besaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Aktiviti penyemburan asap untuk membunuh nyamuk aedes misalnya, wajar dipertingkat dan diperluaskan tidak hanya di kawasan perumahan, malah meliputi premis-premis perniagaan dan bangunan komersial.

Dalam masa sama, PBT seharusnya lebih kerap turun padang untuk memeriksa tahap kebersihan terutamanya restoran dan gerai makanan yang sebenarnya lebih berisiko untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Begitu juga pemeriksaan di tapak-tapak projek terbengkalai yang tidak begitu diberi perhatian sehingga dijadikan lokasi bagi aktiviti tidak bermoral oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kawasan projek terbengkalai itu lebih cenderung untuk menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes kerana dipenuhi dengan sampah sarap serta sisa bahan binaan yang tidak terurus dan terbiar tanpa perhatian mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama, PBT juga perlu meningkatkan pemeriksaan di kawasan projek pembinaan yang sedang dijalankan supaya kontraktor atau pemaju mematuhi kebersihan.

Aspek kebersihan itu tidak hanya mencakupi kawasan persekitaran tapak projek, sebaliknya diperluaskan terutamanya di kawasan tempat tinggal pekerja buruh binaan.

Ini kerana polemik mengenai penularan wabak denggi sebelum ini pernah dikaitkan dengan kebanjiran pekerja asing yang tidak mementingkan tahap kebersihan dan hakikat itu tidak boleh dipandang mudah.

Sementelah sebelum ini juga dilaporkan terdapat kira-kira 4,000 kes demam Chikungunya, yang mirip dengan simptom penyakit demam denggi yang disebabkan oleh pekerja dari Myanmar, Vietnam dan Selatan India.

Barangkali PBT perlu menguatkuasakan semula pasukan antiaedes di tapak projek pembangunan seperti yang pernah dilaksanakan ketika negara dikejutkan dengan wabak denggi pada pertengahan 1990-an.

Kegagalan menubuhkan pasukan antiaedes itu pula seharusnya tidak membuatkan PBT teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju dan kontraktor termasuk menggantung projek pembinaan tersebut.

Dalam menyemai kesedaran mengenai wabak denggi pula, PBT harus lebih agresif dan proaktif menyebar kefahaman mengenai wabak denggi dengan mendekati masyarakat secara langsung.

Kempen-kempen bergerak di kawasan tumpuan orang ramai serta penyebaran risalah, poster dan sebagainya dipertingkatkan supaya maklumat berkaitan wabak denggi dapat disebarkan secara menyeluruh.

"Sebaran maklumat itu tidak seharusnya bergantung kepada media cetak dan elektronik semata-mata kerana masih terdapat sebahagian daripada masyarakat terutamanya di luar bandar yang tidak mendapat akses sepenuhnya kepada sumber maklumat formal tersebut," katanya.

Sebagai sokongan sosial dalam berdepan dengan wabak denggi di seluruh negara itu juga, Irfan turut menyeru orang ramai untuk menderma darah.

Ketika ini katanya, kebanyakan hospital memerlukan jumlah darah yang banyak bagi membantu menambah bilangan platelet darah yang berkurangan.

Seperkara yang wajar diberi perhatian dalam membincangkan mengenai pencegahan penyakit demam denggi juga ialah penyelidikan mengenai antivirusnya yang masih belum ditemui sehingga kini.

Bagaimanapun beberapa tahun lalu, negara pernah dikejutkan dengan penemuan antivirus penyakit demam denggi oleh sekumpulan saintis perubatan dari Universiti Malaya (UM).

Penemuan antivirus yang pertama seumpamanya itu dikatakan menggunakan ekstrak herba dari China iaitu artemisia dan tujuh herba tempatan lain.

Namun sehingga kini, tidak dapat dipastikan sejauh mana perkembangan penyelidikan itu memandangkan penemuan tersebut ketika itu masih di peringkat awal dan memerlukan tempoh yang panjang serta bantuan kewangan yang besar.

Adalah menjadi harapan supaya kerajaan memberikan perhatian yang khusus terhadap penyelidikan antivirus denggi itu agar usaha menghasilkan kapsul dan pil yang diberi nama DENGIMM2 tersebut berjaya dipercepatkan.

Selain berpotensi membendung wabak denggi seperti yang dibuktikan pada peringkat awal penyelidikan, kejayaan menghasilkan antivirus denggi itu juga bakal mengharumkan nama negara.

Ini kerana tiada sebarang vaksin dan antivirus yang berkesan untuk rawatan denggi di dunia walaupun India, Vietnam dan Thailand ketika ini berusaha menghasilkan antivirus denggi berasaskan ekstrak tumbuhan.