Masa depan skuad negara 4 Februari
|
|
KUALA LUMPUR – Nasib skuad bola sepak negara yang dibelasah oleh pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 di sini Rabu lalu akan ditentukan pada 4 Februari ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada tarikh itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membincangkan pelbagai aspek termasuk masa depan skuad bimbingan B. Sathianathan.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga akan menentukan sama ada skuad bola sepak negara perlu dibubar atau sebaliknya.
‘‘Dalam mesyuarat itu nanti, kita akan membincangkan semua aspek melibatkan perjalanan bola sepak negara seperti pengurusan pasukan, kewangan juga skuad bola sepak negara yang kalah kepada UAE tempoh hari.
‘‘Tengoklah nanti apa hasil mesyuarat tersebut. Ketika itu nanti barulah kita boleh membuat keputusan tentang masa depan skuad yang ada sekarang.
‘‘Saya tidak mahu membuat apa juga keputusan mengenai masa depan skuad bola sepak yang ada sekarang selagi saya tidak menemui FAM,’’ katanya selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, semalam.
Beliau mengulas desakan para pemimpin dan tokoh sukan supaya skuad kebangsaan yang kalah kepada UAE tempoh hari dibubar dan ganti dengan pemain muda.
Rata-rata berpendapat pemain veteran perlu diketepikan selepas terbukti gagal meningkatkan mutu bola sepak negara.
Kekalahan terbaru itu meneruskan kritikan skuad kebangsaan selepas episod malang apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpulan kejohanan Piala Suzuki AFF di Phuket bulan lalu.
Kemarahan peminat tidak dapat dibendung apabila penonton yang menyaksikan perlawanan di Stadium Bola Sepak Cheras Rabu lalu bertindak membaling botol air mineral ke arah Sathianathan tetapi terkena jurulatih UAE, Dominique Bathenay.
Ditanya mengenai kekalahan skuad negara Isnin lalu, Ismail Sabri berkata, kekalahan tersebut memalukan jadi tidak hairan jika peminat marah.
‘‘Walaupun saya tidak terkejut dengan kekalahan tersebut, saya tidak sangka kita boleh kalah sehingga lima gol tanpa balas.
‘‘Bagi saya kekalahan itu tidak munasabah. Jika para pemain berasa malu dengan kekalahan tersebut, para peminat lebih berasa malu apabila kalah dalam keadaan sedemikian,’’ katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan